Penembak negara , Ezuan Nasir Khan, tidak berasakan harapan yang diletakkan terhadap dirinya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan menjejaskan fokusnya untuk menyumbang emas buat kontinjen negara.

Ezuan -- yang bakal beraksi dalam saingan 10 meter air rifle dan 50 meter rifle prone -- dijangka memiliki peluang cerah mengungguli dua acara itu.

Bagaimanapun, penembak berusia 28 tahun itu sedar apa yang penting adalah mengekalkan fokus dan beraksi konsisten pada hari pertandingan.

"Saya tidak berasa tertekan dengan sasaran. Saya berusaha sahaja dalam saingan, itu yang penting. Thailand akan memberi saingan yang kuat sebab memiliki penembak handalan.

"Tetapi, dalam menembak ini kami hanya bersaing dengan diri sendiri, bukan dengan orang lain," kata Ezuan.

Pemenang pingat perak acara 50 meter rifle prone di Sukan Asia 2014 ini turut berwaspada dengan saingan yang bakal dijelmakan peserta negara lain, khususnya Thailand.

Begitupun, dia tetap optimis mampu menyerlahkan catatan baik dalam temasya kali ini, apatah lagi beraksi di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, yang merupakan pusat latihan atlet menembak negara.

"Dari segi keyakinan, Alhamdulillah saya banyak belajar selepas berlatih di Eropah dan Korea Selatan.

"Pengalaman itu boleh dipakai dalam Sukan SEA ini," tambahnya.