Penembak negara, Ezuan Nasir Khan, tampil untuk menjelaskan statusnya dalam skuad menembak negara.

Menerusi satu temu bual Nadi Arena hari ini, penembak acara rifle itu mendedahkan kontraknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) akan tamat pada penghujung bulan ini.

"Kalau diikutkan daripada apa yang difahamkan, kontrak saya hanya sehingga hujung bulan ini.

"Awal bulan depan, saya perlu kembali bekerja di Lumut kerana kontrak bersama MSN sudah tamat," katanya.

Prestasinya merosot sepanjang dua tahun ini dan dilihat menjadi punca kontraknya mungkin tidak disambung.

Mengulas mengenai perkara itu, Ezuan berkata: "Apa yang boleh saya katakan, sebelum Sukan SEA (Kuala Lumpur) 2017, kami banyak (menyertai) kejohanan antarabangsa sebelum menyertai kejohanan besar.

"Dulu, kami banyak kejayaan, terutama dalam Sukan Asia.

"Sebelum itu, kami banyak menyertai kejohanan antarabangsa dan dapat mencapai sasaran dalam Sukan Asia.

"Tetapi selepas Sukan SEA 2017, kami tidak menyertai apa-apa kejohanan dan terus ke Sukan Komanwel.

"Jadi, kami agak terkejut kerana sudah lama diam dan tiba-tiba ke temasya besar," katanya.

Ketika ini, dikhabarkan hanya atlet pelapis yang masih menjalani latihan di MSN.

Mengenai masa depannya, Ezuan manambah: "Kalau diikutkan, memang saya berminat untuk terus merebut tempat ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Tetapi selepas bulan depan, kami perlu bekerja semula.

"Saya berada di Lumut dan peralatan dan senjata saya di Kuala Lumpur.

"Agak menjadi masalah untuk kami meneruskan latihan.

"Sukan menembak tidak boleh ditinggalkan dan latihan perlu berterusan," tambahnya.