Penembak negara, Ezuan Nasir Khan, menghadirkan khabar gembira dari Lapangan Menembak Kebangsaan, Subang, apabila meraih pingat emas dalam acara 50 meter rifle prone lelaki, hari ini.

Ezuan -- yang mengutip 242.80 mata -- mengetepikan cabaran penembak Singapura, Ong Jun Hon, dengan perbezaan 3.3 mata dalam aksi final.

Pingat gangsa menjadi milik atlet Myanmar, Kaung Htike, yang membidik 220.2 mata.

"Saya bersyukur dengan kejayaan ini, saya telah berusaha sehingga penghujung untuk meraih pingat emas," kata Ezuan.

Ini merupakan kejayaan berganda buat Ezuan yang muncul selaku penembak negara pertama menyumbang emas Sukan SEA dalam acara ini selain turut mencipta rekod final baru -- yang sebelum ini dipegang -- penembak Thailand, Wijan Supalerk yang mencatat 206.3 mata dalam Sukan SEA Singapura 2015 -- yang menggunakan format Persekutuan Antarabangsa Sukan Menembak (ISSF).

Kejayaan Ezuan sedikit-sebanyak mengubati kekecewan skuad menembak negara tatkala Bibiana Ng terpaksa akur dengan pingat gangsa dalama acara 10 meter air pistol wanita individu.

"Ini merupakan satu pencapaian yang baik bagi acara individu," ujar Bibiana.

Penembak senior, Nur Suryani Taibi dan Haslisa Hamed, kempunan pingat dalam acara 50m rifle prone individu wanita.

Kejayaan Ezuan merupakan pencapaian emas ketiga daripada skuad menembak selepas Alia Sazana Azahari mengungguli acara 25m pistol individu wanita dan Benjamin Khor dalam acara double trap individu lelaki.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit foto: Media MASOC