Kurang 100 hari sebelum bermulanya Sukan SEA Filipina 2019, skuad mendayung negara kini berdepan risiko masalah kesihatan apabila terpaksa mengharungi latihan dalam keadaan cuaca berjerebu.

Skuad mendayung meneruskan sesi latihan mereka di tasik Presint 8, Putrajaya biarpun indeks pencemaran udara di kawasan itu sudah menghampiri paras 94.

Menurut Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan 51-100 adalah di bawah lingkungan sederhana, namun situasi menyaksikan ia sudah menghampiri bacaan tidak sihat, iaitu 101-200.

Atlet mendayung kini terdedah dengan rasa perit dalam tekak ketika berlatih selain terpaksa berdepan dengan cuaca yang lebih panas daripada kebiasaannya.

"Setakat ini, Malaysia mengalami musim jerebu dan kami perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan apa-apa situasi," kata pendayung negara, Muhammad Khalis Jasmiad.

Tiada arahan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan setakat ini mengenai ancaman cuaca berjerebu.

Bagaimanapun, jika berlaku, barisan atlet mendayung negara sudah bersiap dengan kemungkinan untuk mengubah jadual latihan mereka bagi mengelak ditimpa sebarang masalah kesihatan.

"Ia bergantung kepada atlet itu sendiri dengan cara mereka menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca. Bagaimanapun, saingan di Manila semakin hampir dan kami perlu membuat persiapan," kata pendayung negara, Muhammad Amirul Norhadi.