Lebih 250 peserta dari seluruh Sabah dijangka menyertai Larian 'Memory Run Tanduo' 2017 yang akan berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Sahabat 16, Lahad Datu, Mac depan.

Ketua Penyelaras Program, Yandy Merika, berkata larian edisi kedua itu sekali lagi diadakan bagi memperingati jasa pejuang yang terkorban ketika Ops Daulat pada 2013.

"Larian ini akan bermula di SK Sahabat 16 membabitkan laluan sejauh 12 kilometer dengan merentasi beberapa kawasan sekitar Felda Sahabat.

"Selain itu, larian ini juga dibahagikan kepada beberapa buah kategori iaitu Lelaki dan Perempuan Terbuka 19 Tahun ke atas; Lelaki dan Perempuan Remaja 12 tahun ke atas serta Lelaki dan Perempuan Veteran 40 tahun ke atas," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Yandy berkata, pelepasan larian akan disempurnakan Guru Besar SK Sahabat 16, Jannah Madullah manakala penutupan dijangka disempurnakan Timbalan Menteri Komoditi dan Perladangan, Datuk Nasrun Datu Mansur.

"Program ini turut bertujuan bagi mencungkil dan melahirkan bakat-bakat baru dalam acara sukan larian jarak jauh untuk diketengahkan dalam peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan Malaysia (SUKMA).

"Selain itu, aktiviti seumpama ini juga mampu menjadi medan kepada peserta mencipta nama, mempamer dan mengembangkan bakat diri dalam sukan larian jarak jauh," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya turut menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang daripada tempat pertama hingga ke sepuluh.

Mereka yang berminat menyertai larian berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Yandy sendiri di nombor 0198033390 dan 0107933390.