Setiausaha Agung Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abd Hamid Hassan, akur dengan keputusan penganjur Sukan Komanwel Gold Coast, Australia 2018 menggugurkan acara itu dengan pihaknya tidak berpeluang lagi untuk membuat rayuan.

Memanah terpaksa menerima hakikat peluang bertanding di Gold Coast, April tahun depan sudah tertutup rapat.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sudah memuktamadkan 18 jenis sukan dengan memanah tercicir buat kali kedua berturut-turut selepas Glasgow, Scotland 2014.

Ini bermakna pemanah hebat negara seperti Khairul Anuar Mohamad terpaksa melupakan cabaran di Gold Coast.

"Pemanah kita berkemampuan untuk memenangi pingat. Oleh kerana sukan memanah tidak dipertandingkan, kita terpaksa menerimanya," ujar Hamid.

Kali terakhir memanah disenaraikan dalam temasya itu adalah pada 2010 di New Delhi, India, dengan skuad negara meraih satu perak menerusi recurve berpasukan lelaki yang diketuai Cheng Chu Sian.

Situasi ini berbeza dengan berbasikal trek dalam Sukan Asia Indonesia 2018.

Beberapa negara membantah pengguguran acara keirin, pecut dan pecut berpasukan hingga dimasukkan semula kerana penganjur masih mempunyai masa untuk memuktamadkan senarai acara.