Atlet memanah para negara, Nor Sa'adah Abdul Wahab, menebus kehampaan apabila menamatkan cabaran Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan kilauan emas apabila mengungguli acara compound berpasukan campuran di Bukit Jalil, hari ini.

Turun beraksi dalam temasya kelima buat dirinya, Nor Sa'adah bertekad memperbaiki pencapaian pingat perak yang diraihnya dalam saingan compound individu wanita, semalam.

Begitupun, kemerosotan prestasi yang dipamerkan Yuhaizam Yahya dalam saingan individu mengakibatkan dia digantikan oleh muka baru, K. Morogen.

Nyata, gandingan mereka tidak mengecewakan selepas menggondol emas dengan menewaskan pasangan Indonesia dalam final.

Lebih manis, ia merupakan emas pertama Nor Sa'adah dalam saingan compound kerana sebelum ini dia pernah meraih emas bagi kategori recurve dalam edisi 2007 dan 2011.

“(Saya berkecimpung dengan acara) compound ini baru lagi, baru dua tahun tetapi recurve sudah lama.

"Banyak perbezaaan dari segi panahan, jadi banyak juga yang perlu saya belajar bagi menyesuaikan diri,” kata Sa'adah.

Sementara itu, pemanah recurve para negara, Hasihin Sanawi, tidak kecewa meskipun impian emasnya kali ini tidak kesampaian.

Dia yang digandingkan bersama L. Ananthy memperoleh gangsa selepas mengetepikan cabaran peserta Filipina menerusi shoot off bagi penentuan tempat ketiga.

Ia merupakan gangsa kedua buat mereka selepas masing-masing meraih pencapaian sama bagi saingan individu, kelmarin.

“Walaupun tidak dapat pingat emas, saya cuba buat untuk diri sendiri. Ini kali keempat saya menyertai Sukan Para ASEAN dan julung kalinya saya memegang pingat.

“Untuk temasya ini, saya memang berniat untuk melakukan yang terbaik, tidak kisah dapat pingat warna apa. Saya akan buat juga,” kata Hasihin.