Hasrat pemanah lelaki negara, Mohd Juwaidi Mazuki, untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia terkandas apabila tewas tipis 145-144 di tangan pemanah Indonesia, Prima Wisnu Wardana, di pentas final acara compound lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sebentar tadi.

Juwaidi melangkah ke final selepas menewaskan pemanah Filipina, Paul Marton, dalam saingan separuh akhir.

Biarpun mendahului 89-86 di pertengahan aksi, ternyata Prima lebih konsisten dalam menepati bidikan untuk mengesahkan emas kedua Indonesia pada hari ketiga temasya dwitahunan ini.

Bagaimanapun, dia memperbaiki pencapaiannya di Singapura dua tahun lalu yang menyaksikannya membawa pulang gangsa.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terlepas peluang untuk meraih emas buat kali kedua berturut-turut selepas pemanah wanita, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, tewas di separuh akhir, namun berjaya merakamkan gangsa buat negara dalam aksi sebelum itu.

"Saya tidak fikir tugas memenangi emas sebagai beban.

"Mara ke final bukan senang, saya telah mencuba yang terbaik dan ini merupakan satu bonus dalam saingan individu.

"Saya memang kecewa kerana terlepas peluang ini.

"Oleh itu mental dan fizikal saya perlu kuat untuk menumpukan acara esok," katanya yang akan bersaing dalam acara compound berpasukan lelaki.