Gimnas negara, Tan Fu Jie, risau apabila hanya mempunyai tiga peluang untuk merealisasikan impiannya melakar sejarah buat kem lelaki negara dan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam buruan slot ke Tokyo, atlet kelahiran Terengganu itu tiada pilihan selain perlu bekerja keras dalam saingan Piala Dunia yang akan berlangsung di Melbourne, Australia, bulan depan sebelum diikuti saingan di Doha, Qatar, dan Baku, Azerbaijan, sebulan kemudian.

Ketika ini, hanya ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, yang telah berjaya menamatkan penantian selama 19 tahun selepas meraih slot ke Tokyo ketika beraksi dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Jerman, Oktober tahun lalu.

Ia menjanjikan tugasan yang berat buat Fu Jie kerana perlu berada di kedudukan tiga terbaik dalam setiap saingan kelayakan tersebut.

"Sememangnya saya berasa tertekan tetapi akan menghadapi saingan satu demi satu. Ia menjadi rutin dan untuk kelayakan, saya rasa semakin baik. Namun, persembahan perlu dipertingkatkan," katanya

Bagaimanapun, pemenang pingat emas dalam acara kekuda berpelana Sukan SEA Filipina itu menjelaskan barisan gimnas artistik dari Iran turut akan menjadi penghalang untuk ditempuhi.

"Ia memang sukar kerana (ia) menjadi kelayakan Olimpik. Antara pencabar yang belum melayakkan diri dan bakal memberikan saingan getir adalah Iran."



Editor: Nafis Abdullah