Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang bertanding merebut jawatan presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyelar badan induk itu kerana memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi memilih anggota exco baru bagi penggal 2019-2023 hari ini.

Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) itu mendakwa anggota exco MPM sedia ada perlu dipecat kerana gagal menjalankan tanggungjawab diamanahkan sambil menegaskan penangguhan itu akan menjejaskan kredibiliti MPM selaku badan induk yang menjaga atlet para negara.

“Kalau saya dipilih menjadi presiden dan kalau ada keperluan, saya akan memecat mereka yang bertanggungjawab kerana (kemelut) ini tidak bagus.

“Mangsanya atlet dan persatuan sukan serta menjejaskan imej KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), PJS (Pejabat Pesuruhjaya Sukan) dan MPM itu sendiri.

"Saya rasa mungkin penaja akan lari kerana mereka tidak mahu terlibat dalam kemelut ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, Megat Shahriman mempersoalkan kelayakan pencabarnya, Khairy Jamaluddin, untuk merebut jawatan presiden MPM kerana mendakwa bekas Menteri Belia dan Sukan itu menggunakan unsur penipuan untuk bertanding jawatan berkenaan.

Megat Shahriman juga dilaporkan telah menghantar bukti penipuan berkenaan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan bagi menyemak semula kelayakan Khairy yang bertanding atas kapasiti timbalan presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF) bagi merebut jawatan presiden MPM.

Timbalan Presiden MPM, John Ng, hari ini dilaporkan berkata kesemua 24 anggota gabungan MPM bersetuju untuk menangguhkan AGM bagi penggal 2019-2023 kepada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Sementara itu, ahli gabungan MPM menyifatkan perebutan kuasa itu sesuatu yang memalukan sejak badan induk terbabit ditubuhkan 30 tahun lalu.

"Melihat kepada kualiti kepimpinan, mereka mempunyai agenda tersendiri," kata Presiden Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia (MBSA), Dr. S. Radha Krishnan.

"Lebih banyak calon yang bakal bertanding. Tetapi buat masa ini kita perlu menunggu dahulu supaya menentukan sama ada mereka layak ataupun sebaliknya untuk bertanding," kata Presiden Persatuan Tenis Berkerusi Roda Malaysia, Muhd Iqbal Sulaiman.

-- BERNAMA