Daniiel Medvedev meneruskan prestasi cemerlang dalam saingan Masters Cincinnati selepas menewaskan David Goffin, awal pagi tadi, sekali gus meraih kejuaraan ATP Masters 1000 yang pertama dalam kariernya.

Beraksi dalam final ketiga bagi semua kejohanan, pemain dari Russia itu terlalu bagus buat Goffin apabila mudah menang 7-6 (7-3), 6-4 di Cincinnati.

Medvedev memegang rekod kemenangan 14-2 ketika turun beraksi di Amerika Utara, satu catatan hebat menjelang Terbuka Amerika Syarikat.

Selepas menewaskan pemain nombor satu dunia, Novak Djokoic, dalam separuh akhir, pilihan kesembilan itu melakukan penampilan positif apabila mendahului 4-1.

Namun, Goffin yang menyertai kejohanan selaku pilihan ke-16, memberi tindak balas tetapi tetap melepaskan lima mata menerusi servis.

Medvedev menggunakan kesempatan daripada permulaan buruk lawannya dalam set kedua tatkala Goffin melepaskan pukulan yang sekadar singgah ke jaring.

Dan Medvedev tidak melepaskan peluang untuk terus menamatkan saingan apabila dia bangkit menerusi empat servis pertama yang diraih selepas ketinggalan 15-40 untuk mengesahkan kejuaraan Masters pertama dan kelima bagi Jelajah ATP.

"Ini adalah tiga minggu terhebat sepanjang hidup saya," katanya.

"Mentaliti saya berada di tahap terbaik, servis saya terbaik dan permainan tenis saya benar-benar konsisten.

"Saya tidak mengharungi satu pun perlawanan yang teruk dan harap dapat terus seperti ini untuk beberapa minggu lagi."