Pengurus Conor McGregor, Audie Attar, yakin akan kebolehan warga Ireland itu dan optimis dia bakal membuatkan pengkritiknya menggigit jari menjelang pertemuan dengan Floyd Mayweather Jr, bulan depan.

McGregor dan Mayweather baru-baru ini menjadi tumpuan ramai, termasuk media, apabila bertegang urat ketika sidang media sebelum pertemuan hebat yang dijadualkan berlangsung di Las Vegas pada 26 Ogos.

McGregor yang merupakan ikon seni bela diri campuran (MMA) itu dikatakan bukan pilihan menjelang pertemuan dengan Mayweather yang memiliki rekod pertemuan 49-0.

Bagaimanapun, Attar percaya McGregor bakal menjadi individu pertama yang akan menamatkan rekod tanpa kalah Mayweather dalam dunia tinju profesional.

“Tinggal enam minggu menjelang 26 Ogos dan pertarungan terhebat bakal berlangsung.

“Anda perlu ingat, apabila McGregor keluar ke gelanggang dan membuktikan semua salah selepas menumbangkan Mayweather, dia akan menjadi pahlawan terhebat dalam sejarah,” kata Attar.