Bekas pemain hoki kebangsaan Australia, Michael McCann, mahu memanfaatkan tempoh seminggu bersama skuad negara untuk membentuk ketajaman di bahagian serangan apabila memulakan program latihannya esok.

Bekas pemain berusia 41 tahun itu menyifatkan skuad kendalian Roelant Oltmans berkenaan di landasan tepat untuk memburu tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi pusingan kelayakan terakhir, November depan.

"Buat masa ini, itulah yang sedang saya nantikan.

"Saya agak teruja untuk melihat kualiti yang ada di sini.

"Kemudian, saya akan melihat apa yang saya boleh lakukan untuk menjadikan pasukan ini lebih baik.

"Pengalaman saya dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sewaktu bergelar pemain sudah terlalu lama.

"Sebab itulah yang menjadikan hoki di Malaysia sangat kuat.

"Dengan Roelant berada di sini dan struktur terkini pasukan, saya rasa kami boleh menghasilkan sesuatu yang berbeza minggu depan.

"Saya berharap ia akan memberikan mereka lebih keyakinan untuk menghadapi pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari ini.

Dalam pada itu, Oltmans percaya sentuhan jurulatih dari Australia itu mampu menyempurnakan bahagian serangan pasukannya.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Belanda itu berharap barisan pemainnya mampu segera menyesuaikan diri dengan corak latihan McCann memandangkan program latihan itu terhad dalam masa seminggu sahaja.

"Saya yakin Michael akan memberikan yang terbaik untuk membantu kami meningkat.

"Namun, semua orang tahu tugasan utama kami adalah dalam pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Jika (latihan) sepanjang minggu ini dapat membantu kami menjaringkan lebih gol dan layak, kami semua akan gembira," katanya.