Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia (MBSA) mendakwa terdapat campur tangan pihak luar yang menggagalkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang ditangguhkan hari ini.

Presiden MBSA, Dr. S. Radha Krishnan, berkata beliau agak terkejut dengan keputusan yang diumumkan oleh Timbalan Presiden MPM, John Ng, sambil mendakwa penangguhan berkenaan akan menjejaskan kredibiliti MPM, selain memberi kesan kepada persiapan atlet para negara menghadapi Sukan Para ASEAN 2019 di Filipina, Januari depan.

“Kami seolah-olah tidak diberi peluang oleh MPM untuk menyuarakan pandangan dalam mesyuarat hari ini dan saya amat kecewa dengan cara mesyuarat ini dijalankan,” katanya ketika ditemui di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan, hari ini.

Ditanya kemungkinan beliau akan bertanding jawatan timbalan presiden MPM, Radha Krishnan menyerahkan kepada 24 ahli gabungan MPM untuk membuat keputusan sekiranya berminat mencalonkan namanya untuk bertanding semula.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid, menegaskan pihaknya perlu akur dengan kehendak ahli gabungan yang bersetuju dengan penangguhan AGM berkenaan.

“Saya tidak boleh berikan sebarang komen lanjut kerana 24 ahli gabungan memutuskan untuk menangguhkan AGM ini dan kami perlu menghormati keputusan berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA