Kejutan yang dilakar pasukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) perlu diberi perhatian oleh Maybank menjelang separuh akhir hoki Piala Tan Sri P. Alagendra yang akan berlangsung petang ini.

Kejayaan MBPJ mengatasi pasukan Divisyen 1, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), 2-1 menempatkan pasukan dari Liga Hoki Remaja itu sebaris dengan pasukan pilihan yang lain.

Di bawah kendalian Azlansaufi Ahmad Sufian, MBPJ perlu diberikan perhatian walaupun menjelang pertemuan dengan Maybank, mereka di anggap pasukan 'underdog'.

Bagi jurulatih Maybank, Shaiful Azli Abdul Rahman, aksi hambar pada awal babak ketika bertemu UniKL dalam saingan suku akhir pada Sabtu, perlu diperbaiki segera anak buahnya.

"Memang kita mempunyai 'drag flicker' yang bagus dan tidak dinafikan itu satu jaringan yang membawa kejayaan kepada pasukan Maybank," jelas Shaiful.

Sementara itu, pertembungan membabitkan THT dan KLHC dianggap seimbang.

Bagi jurulatih KLHC, Muhammad Harun Al-Rashid Samri, tewas di tangan THT dalam saingan suku akhir tahun lalu perlu dilunaskan dengan kemenangan bagi merealisasikan sasaran ke pentas akhir kali ini.

"Secara amnya, saya gembira dengan keputusan ini. Tidak kira kami menang 1-0 atau 7-0 sekaklipun, yang penting kami menang," ujar Harun.