Isu tempoh lanjutan kontrak yang singkat menjadi punca bekas Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Mazuri Sallehudin, mengambil keputusan untuk tidak terus berkhidmat dengan badan induk itu.

Mazuri sepatutnya sudah pun tamat kontrak pada Disember tahun lalu. Bagaimanapun, beliau akan terus berkhidmat selepas KRM melanjutkan kontraknya untuk tiga bulan lagi yang berakhir pada 31 Mac.

Meskipun KRM menawarkan sambungan kontrak untuk tiga bulan seterusnya, Mazuri mengambil keputusan untuk tidak berkhidmat lagi dengan badan induk kerana berasakan sukar untuk melaksanakan sebarang tugasan dalam tempoh singkat.

"Ini kali kedua kontrak saya dilanjutkan selama tiga bulan lagi.

"Saya tidak rasa penawaran kontrak selama tiga bulan adalah sesuai untuk diterima.

"Seseorang pekerja itu pasti akan berasa tidak terjamin," katanya.

Mazuri yang mula berkhidmat sebagai pengurus besar KRM sejak 2013 berkemungkinan akan kembali ke pangkuan kelab asalnya, NS Wanderers, untuk menabur bakti.

"Saya masih akan berada dalam bidang ragbi.

"Saya mungkin akan kembali Negeri Sembilan (NS) Wanderers untuk menaikkan mereka ke tahap lebih profesional dan menyusun pasukan agar kembali digeruni," katanya lagi.

Untuk sementara waktu, tugas pengurus besar kini dipangku oleh Setiausaha Agung Kehormat, Jamaluddin Salim.