NS Matrix yang mendukung nama Malaysia dalam saingan Piala Seri Mutiara sudah memberikan yang terdaya sebelum tersungkur dalam penentuan tempat ketiga dan keempat, hari ini.

Kekalahan NS Matrix kepada Beijing Fly Dragon dalam aksi separuh akhir semalam ternyata memberi kesan ketika mereka turun menentang wakil Korea Selatan, LG Sakers.

Dua suku pertama tidak menampakkan perbezaan kualiti di antara NS Matrix dan Sakers apabila sekadar ketinggalan tiga mata (49-52).

Bagaimanapun, peningkatan intensiti rentak permainan Sakers menyaksikan Matrix bergelut untuk menyaingi lawan.

Lontaran tiga mata di samping corak permainan serangan balas pantas menjadi senjata utama Sakers untuk menjarakkan kedudukan dengan Matrix.

Akhirnya, wakil negara terpaksa akur dengan kehebatan Sakers yang merekodkan kemenangan dengan jurang besar 103-82.

Sementara itu, Beijing Fly Dragon merakamkan kejuaraan dalam Piala Seri Mutiara selepas menewaskan KK Split 80-73.