MASUM ungguli Sofbol Terbuka Kebangsaan

Tengku Danish Bahri
September 20, 2017 02:22 MYT
Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) membuktikan kejaguhan selepas muncul juara Kejohanan Sofbol Terbuka Kebangsaan 2017 di Taman Rekreasi Chendering, Kuala Terengganu, kelmarin.
Skuad lelaki MASUM tidak berdepan masalah menewaskan Putrajaya 3-1 dalam aksi final manakala tuan rumah, Terengganu, terpaksa berpuas hati di tempat ketiga apabila menang 6-2 ke atas Pahang.
Lebih manis lagi, MASUM juga mengungguli kategori wanita dengan mengalahkan Majlis Sukan Politeknik (MSP) dengan kiraan mata 12-7.
Tempat ketiga kategori wanita menjadi milik Selangor dan Johor di tempat keempat dalam kejohanan edisi ke-43 itu.
Jurulatih skuad lelaki MASUM, Mohd Hanafi Mohd Yassin, menyifatkan kejayaan itu adalah bukti keberkesanan Pusat Sukan Tumpuan Sofbol yang berpusat di Jitra, Kedah dalam melahirkan pemain-
pemain berpotensi.
Mohd Hanafi turut berkata inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam menyediakan peruntukan, seterusnya membangunkan sukan itu di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), ternyata
membuahkan hasil.
Menurutnya lagi, KPT turut tidak ketinggalan menghantar pemain-pemain terpilih untuk beraksi dalam kejohanan di luar negara, antaranya Taiwan dan Indonesia.
“Kemuncak prestasi pusat sukan tumpuan itu ialah mewakili Malaysia dalam Piala Asia Tenggara pada 2016 dan berjaya memenangi pingat perak.
“Malah, majoriti pemain pasukan ini baru pulang dari Terbuka Makassar di Indonesia di mana pasukan wanita menduduki tempat ketiga manakala skuad lelaki di kedudukan kelima keseluruhan.
“Muncul juara peringkat kebangsaan ini sedikit-sebanyak mengubati kekecewaan kami dalam kejohanan itu,” kata Hanafi.
#KPT #MASUM #MSP #Sofbol