Novak Djokovic tewas mengejut dalam aksi Jelajah ATP pertamanya sejak Februari lalu, di mana pemain nombor satu dunia itu dikalahkan oleh Alejandro Davidovich dalam pusingan kedua Masters Monte Carlo awal pagi tadi.

Status Djokovic sebagai pemain yang tidak divaksin membataskannya untuk bersaing dalam kejohanan jelajah tahun ini.

Dia terlepas Kejohanan Tenis Terbuka Australia pada Januari lalu gara-gara masalah visa yang mengakibatkannya diusir daripada negara penganjur berkenaan.

Selain itu, peraturan vaksin COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) pula menghalangnya daripada beraksi dalam kejohanan di Indian Wells dan Miami.

Di sebalik tidak dapat bergiat aktif, pemain Serbia itu -- yang penampilan tunggalnya musim ini adalah ketika mara ke suku akhir Kejohanan Tenis Dubai -- dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan dari Sepanyol berkenaan di atas gelanggang tanah liat selepas mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama.

Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila dia kelihatan tidak berada di prestasi terbaik menentang lawan di ranking ke-46 dunia berkenaan, yang muncul pemenang untuk bertemu sama ada Dan Evans atau David Goffin dalam pusingan berikutnya.

Djokovic kelihatan seperti sedang merencana kebangkitan ketika memenangi 'tie-break' set kedua untuk membawa perlawanan itu ke set penentuan.

Bagaimanapun, dia melakukan 51 'unforced-error' untuk akur tewas 3-6, 7-6, 1-6 dalam masa tidak sampai tiga jam.