Naomi Osaka berdepan kejutan terbesar dalam Kejohanan Tenis Masters Cincinnati apabila juara grand salam empat kali itu disingkirkan oleh pemain bukan pilihan, Jil Teichmann, hari ini.

Osaka dijangka mudah untuk layak ke suku akhir kejohanan WTA 1000 itu tetapi finalis musim lalu dan pemain pilihan kedua berkenaan tersingkir selepas tewas dalam perlawanan tiga set.

Pemain nombor dua dunia itu kelihatan berada di laluan tepat ketika mendahului 3-0 dalam set pertama sebelum memenanginya tetapi bintang Jepun itu berdepan kejutan daripada lawan dengan tiket peluang khas, Teichmann, yang akhirnya merekodkan kemenangan 3-6, 6-3, 6-3.

Ia merupakan kemenangan terbesar Teichmann sepanjang kariernya dengan menundukkan Osaka, yang tewas buat kali keempat selepas memenangi set pertama sejak 2017 -- sebelum ini dengan rekod 118-3.