Roberto Martinez akan membuat keputusan saat akhir sama ada akan menurunkan Kevin De Bruyne dan Eden Hazard atau tidak dalam perlawanan suku akhir Euro 2020 di antara Belgium dan Itali awal pagi esok.

De Bruyne terpaksa dikeluarkan pada awal permainan ketika Belgium menewaskan Portugal 1-0 dalam pusingan 16 gara-gara kecederaan buku lali manakala Hazard pula tidak dapat menyertai sesi latihan terakhir sebelum perlawanan itu.

Martinez mengakui bahawa De Bruyne dan Hazard belum pulih sepenuhnya tetapi masih belum ada kepastian sama ada mereka dapat diturunkan atau tidak.

"Seperti yang anda semua tahu, mereka tidak dapat berlatih hari ini," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Masih ada 24 jam lagi dan mereka amat yakin untuk pulih. Saya kini kesuntukan masa untuk membuat keputusan.

"Kami tidak akan membuat keputusan sehingga saat akhir. Buat masa ini, amat mustahil untuk berkata sama ada mereka sempat pulih atau tidak," katanya.