Hanya berbaki kurang dua bulan menuju Sukan SEA Filipina, November depan, atlet maraton negara, Muhaizar Mohamad, memilih untuk berehat selepas menjuarai Kejohanan Larian Maraton Kuala Lumpur.

Muhaizar membuktikan kewibawaannya apabila menjuarai acara maraton lelaki Malaysia dengan catatan masa 2'35:23 saat.

Bagaimanapun, berbanding atlet sukan lain sebagai persiapan menghadapi dwitahunan itu, atlet berusia 34 tahun berkenaan sebaliknya memilih untuk berehat selama dua bulan daripada terlibat dalam sebarang kejohanan.

"Jaguh dunia sekalipun, mereka akan mengambil masa selama enam bulan lebih sebelum menyertai semula pertandingan.

"Jadi tempoh dua bulan ini sebenarnya tidak cukup, saya perlu menjalani proses pemulihan selain berlatih untuk mengekalkan jarak larian pada setiap minggu.

"Itulah yang penting," katanya pagi tadi.

Dia juga berhasrat untuk memperbaiki pencapaian edisi dua tahun lalu dengan sekurang-kurangnya mencapai pingat perak.

"Saya perlu tingkatkan latihan untuk lebih pantas dalam usaha menamatkan perlumbaan di depan pelari lain," katanya.

Dalam Sukan SEA 2017, dia menamatkan kemarau pingat 44 tahun negara apabila meraih gangsa dengan catatan masa 2'31:52s.