Pemain ping pong negara, Ho Ying, berharap dua pemain ping pong dari China yang bakal menjalani latihan bersama skuad negara mampu menambah baik kualiti permainannya menjelang Kejohanan Ping Pong Komanwel di Odisha, India, dari 17 hingga 22 Julai depan.

Bagi memantapkan persiapan skuad negara, Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) memanggil dua pemain dari Hubei, China, untuk menjadi rakan sepelatih kepada pemain kebangsaan selama dua minggu bermula esok.

Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 itu menaruh harapan agar latihan bersama dua pemain China itu mampu membantunya mencapai sasaran yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Setiap hari, saya menjalani latihan dan saya menyambut baik berita kehadiran dua pemain dari China itu," katanya.

Dia turut meletakkan sasaran peribadi dalam Kejohanan Komanwel untuk memungut dua pingat tanpa mengira warna.

"Saya tidak kisah medal dalam mana-mana acara.

"Saya cuma berharap dapat mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan itu," katanya.

Sebelum ini, gandingan Ho Ying bersama-sama Karen Lyne melakar sejarah tersendiri apabila meraih pingat dalam acara beregu wanita buat pertama kalinya dalam sejarah Sukan Komanwel apabila menewaskan beregu India 3-1 dalam aksi penentuan pingat gangsa dalam edisi di Gold Coast, tahun lalu.