Perlawanan 5 penjuru sepatutnya berlangsung untuk mengenalpasti pencabar utama Kejuaraan Wanita Smackdown di acara Smackdown Live minggu ini.

Namun semuanya bertukar menjadi caca marba apabila mereka menyerang sesama sendiri menyebabkan Pesuruhjaya Smackdown, Shane McMahon mengumumkan perubahan yang mengejutkan semua pihak.



Charlotte Flair, Carmella, Tamina Snuka, Natalya dan Becky Lynch akan menempa nama dalam sejarah WWE apabila kelima-lima mereka akan bertemu sekali lagi di acara WWE Money In The Bank (MITB) pada 19 Jun depan dalam perlawanan bertangga MITB yang mana ia merupakan perlawanan pertama dalam sejarah MITB melibatkan penggusti wanita sejak ia diperkenalkan di acara Wrestlemania 21 pada tahun 2005.

Pemenang akan ditentukan apabila salah seorang daripada mereka berjaya memanjat anak tangga dan seterusnya mencapai beg bimbit MITB yang tergantung. Di dalamnya terdapat kontrak yang menjadi idaman setiap bintang WWE di mana mereka boleh menuntut perlawanan untuk merebut kejuaraan pada bila-bila masa dan di mana jua dalam tempoh setahun.

Pastinya pertembungan lima wanita jelita dan gagah Smackdown ini akan mencuri tumpuan dalam usaha WWE untuk terus merevolusikan divisyen wanita agar setaraf dengan bintang lelaki. Jika sebelum ini kita telah saksikan perlawanan Sangkar Neraka (Hell In A Cell) dan Manusia Waja (Iron Man) yang sebelum ini pernah diadakan di kalangan bintang wanita, kini giliran perlawanan bertangga MITB pula akan menjadi penanda aras sejauhmana bintang wanita WWE kini lebih kental berbanding sekadar menjadi penghias dan halwa mata penonton sahaja sebelum ini.

Kejutan juga mungkin akan berlaku kerana hanya lima nama sahaja yang diumum setakat ini. MITB lazimnya disertai sekurang-kurangnya enam peserta dan ini sekaligus membuat para WWE Universe tertanya-tanya siapakah lagi yang bakal menyertai perlawanan penuh aksi dan berisiko tinggi ini kelak.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Lana yang kini dilihat aktif bergusti setelah suaminya Rusev berehat panjang sejak awal tahun lalu. Lana turut melobi Shane o Mac agar memberikan tempat kepadanya dalam usaha membuktikan keupayaan sebenarnya untuk beraksi dalam gelanggang.

Tidak mustahil juga yang Brie Bella, isteri kepada Pengurus Am Smackdown Daniel Bryan akan membuat penampilan mengejut selepas mengumumkan persaraannya sejak beberapa tahun lalu kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga. Brie yang baru sahaja selamat melahirkan anak perempuan pertama mereka bulan lalu, telah memuatnaik video yang menyatakan bahawa dirinya kini sedang giat menjalani latihan untuk kembali ke gelanggang WWE.



Walau siapapun akan mengisi slot itu nanti, sudah tentu perlawanan ini akan menjadi tumpuan peminat gusti di seluruh dunia dan selaku juara, Naomi perlu berhati-hati kerana pemenang akan menuntut hak untuk mencabarnya pada bila-bila masa dan di mana jua selepas ini. Tidak kira sama ada dirinya bersedia atau sebaliknya.

Acara Money In The Bank akan bersiaran pada Isnin, 19 Jun depan dan ia merupakan acara bulanan khas jenama Smackdown Live. Selain perlawanan MITB wanita, tradisi MITB di kalangan bintang lelaki tetap akan mengambil tempat dan tidak kurang sengitnya.



Sami Zayn, Baron Corbin, Shinsuke Nakamura, Kevin Owens, Dolph Ziggler dan AJ Styles akan berentap bagi menggapai kontrak berharga tersebut, seterusnya melakar nama sebagai Juara WWE yang kini dimiliki Jinder Mahal.

Namun sebelum itu, jangan kita lupa yang jenama Raw akan tampil di acara Extreme Rules pagi Isnin ini dengan menampilkan pelbagai perlawanan unik yang pastinya menjanjikan aksi lasak.



Berikut merupakan senarai perlawanan yang telah dimuktamadkan:-

Perlawanan Regu Campuran:
Rich Swann & Sasha Banks lwn. Noam Dar & Alicia Fox

Perlawanan Kunci Menyerah Kalah (submission) bagi Kejuaraan Cruiserweight WWE:
Neville (juara) lwn. Austin Aries

Perlawanan Rotan Kendo Tergantung di Tiang bagi Kejuaraan Wanita Raw:
Alexa Bliss (juara) lwn. Bayley

Perlawanan Sangkar Besi bagi Kejuaraan Regu Raw:
The Hardy Boyz (juara) lwn. Sheamus & Cesaro

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Antara Benua WWE (Dean Ambrose akan kehilangan kejuaraan jika dibatalkan secara DQ oleh pengadil):
Dean Ambrose (juara) lwn. The Miz

Perlawanan Ekstrim Lima Penjuru bagi merebut hak sebagai pencabar utama Kejuaraan Universal WWE:
Seth Rollins lwn. Samoa Joe lwn. Finn Balor lwn. Bray Wyatt lwn. Roman Reigns

Acara ini akan mula bersiaran jam 7.00 pagi Isnin dan disiarkan secara eksklusif di WWE Network saluran 820 / 840 (HD).

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro On The Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.