ARGENTINA 2 MALAYSIA 1

Harapan skuad hoki lelaki negara untuk mara ke peringkat akhir Liga Hoki Dunia Separuh Akhir lebur apabila tewas tipis 1-2 di tangan pasukan nombor satu dunia, Argentina, di Stadium Hoki Lee Valley, London, malam ini.


Malaysia yang dikendalikan oleh Stephen Van Huizen turun dengan misi mencipta kejutan serta mahu membalas dendam selepas tewas 2-5 dalam pertemuan peringkat kumpulan sebelum ini.

Meskipun menunjukkan permainan yang kemas, skuad negara dikejutkan dengan gol awal pada minit ke-13 apabila Lucas Vila menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti sebelum Manuel Brunet menambah gol kedua pada minit ke-34.

Bagaimanapun, The Malaysian Hockey Tigers berjaya merapatkan jurang empat minit kemudian apabila pemain berjersi nombor 7, Fitri Saari, tenang menolak masuk pukulan penalti strok untuk memperdayakan penjaga gol Argentina, Juan Vivaldi, sekaligus merapatkan kedudukan 2-1.

Kedudukan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat dan menamatkan kebangkitan Malaysia yang telah layak ke Piala Dunia 2018 selepas menewaskan India di peringkat suku akhir.

Seperkara yang menarik, perbezaan 13 anak tangga dalam ranking dunia -- Argentina selaku pasukan no. 1 dan Malaysia no. 14 -- tidak pun ketara dalam perlawanan ini.

Malah, Malaysia tampil pasukan pertama menggagalkan Gonzalo Peillat -- yang telah menyumbat 12 gol menerusi pukulan sudut penalti sebelum perlawanan ini -- daripada membuat sebarang jaringan, dengan penjaga gol, S. Kumar, tampil cemerlang.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia bakal berentap dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, berhadapan dengan tuan rumah, England -- yang tewas satu lagi separuh akhir 0-2 kepada Belanda -- malam ini.

Dalam perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia tewas 3-7 kepada England.