Prestasi hebat skuad trek negara diketuai Azizulhasni Awang dalam Kejohanan Berbasikal Trek dunia di Jerman menyaksikan Malaysia berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin dan pecut individu dengan pengumuman rasmi akan dibuat, minggu depan.

Malaysia menepati ramalan layak ke Sukan Olimpik Tokyo dalam keirin selepas Azizulhasni meraih pingat gangsa di Jerman.

Ia mengukuhkan kedudukan Malaysia di ranking pertama senarai negara belum layak.

Bagi pecut individu, Malaysia dijangka naik satu anak tangga berbanding keempat ketika ini dalam senarai negara belum layak.

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan mengumumkan ranking muktamad kelayakan Sukan Olimpik, 9 Mac ini.

"Saya sangat gembira kerana terdapat wakil negara yang berjaya melangkah ke Sukan Olimpik. Ia membuktikan pelumba basikal negara setaraf dengan barisan elit dari Eropah dan mampu berdaya saing di pentas antarabangsa," kata atlet berbasikal lebuhraya negara, Anuar Manan.

"Saya berasakan Azizulhasni akan berusaha untuk memperbaiki pencapaian yang diraih empat tahun lalu di Tokyo nanti," kata atlet berbasikal lebuhraya negara, Adiq Husainie Othman.