Pasukan Malaysia merangkul satu pingat emas dan tiga pingat gangsa dalam Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Pingat emas negara dikutip Daniel Fiedieans Maideh yang menumbangkan peninju dari Uzbekistan dalam pertarungan akhir dengan kiraan mata penuh 10-9, 10-9 dan 10-9 dalam tiga pusingan.

Riedzwan Norsyarmie Daud, Kallens Barthez dan Muhamad Johan Ghazali pula masing-masing merangkul pingat gangsa selepas terkandas dalam separuh akhir.

Ketua delegasi Malaysia ke kejohanan berkenaan, Ir Nazri Ab Razak, berkata pertandingan masih berjalan sehingga hari ini dengan seorang lagi peserta negara bakal berentap dalam final.

"Seramai 1,100 peserta dari 79 negara menyertai kejohanan ini dengan Malaysia juga telah menghantar 10 peserta yang bertarung dalam pelbagai kategori.

"Sebahagian peserta negara berjaya melepasi pusingan awal dan saya harapkan kejohanan ini memberikan satu pengalaman kepada mereka.

"Saya juga memuji semangat juang yang ditunjukkan mereka dan kita juga bersedia untuk kembali menyertai kejohanan ini tahun depan," katanya.