Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan, Malaysia tetap mempamerkan prestasi terbaik untuk sekurang-kurangnya muncul naib juara selepas menewaskan Thailand 57–42 dalam Kejohanan Bola Keranjang Wanita Asia Tenggara (SEABA) 2016 di Stadium Tertutup Bukit Serindit, Melaka, malam ini.

Kemenangan Singapura ke atas Indonesia sebelum itu, sedikit-sebanyak memberi tekanan buat Malaysia dalam memastikan kedudukan kedua terbaik kekal milik negara.

Namun, Malaysia enggan menjadikan ia sebagai alasan, menyaksikan suku pertama berjaya dikawal dengan baik untuk mendahului 15-13.

Berbeza dalam suku kedua, Thailand dilihat sedikit terganggu dengan Malaysia lebih mudah menamatkan cabaran 12-9 untuk mendahului 27-22.

Bersambung suku ketiga, Thailand cuba bangkit untuk mendahului, namun Malaysia sudah awal-awal lagi bersedia dan terus menguasai 15-12 untuk mata keseluruhan 42-34.

Suku terakhir yang dijangka berlangsung sengit, bagaimanapun, kembali perlahan selepas Malaysia pantas menamatkan aksi 15-8 untuk kemenangan muktamad 57-42, sekali gus diangkat sebagai naib juara edisi ini.

Terdahulu, Singapura menundukkan Indonesia 71-68, sementara Vietnam menang besar 98-39 ke atas Laos.

Filipina terlebih dahulu mengesahkan kejuaraan menjadi milik mereka.

Kedudukan:

1. Filipina (603:312)
2. Malaysia (515:284)
3. Singapura (460:334)
4. Indonesia (388:338)
5. Thailand (378:362)
6. Vietnam (324:526)
7. Laos (205:717)