Rentetan kejayaan atlet heptatlon negara, Nurliyana Kamaruddin, di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, dia menggesa lebih ramai bakat baru untuk menyertai acara itu memandangkan Malaysia masih kekurangan peserta.

Nurliyana merupakan atlet tunggal wanita negara yang beraksi dalam acara heptatlon dalam temasya KL2017, Ogos lalu.

Meskipun sekadar meraih tempat keempat, dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan berusia 36 tahun milik Datuk Zaiton Othman yang dilakar pada 1981 dalam edisi di Manila.

Menjelang Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lumut, Perak, minggu hadapan, Nurliyana tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik kerana mahu mengekalkan prestasi dalam kesemua tujuh acara yang dipertandingkan.

Ia bakal menjadi kejohanan terakhirnya tahun ini sebelum berehat. Oleh itu, dia berazam untuk menutup tirai musim ini dengan kejayaan.

"Buat masa ini, jurulatih mengarahkan saya berlatih seperti biasa.

"Ini kerana jadual pertandingan tahun depan masih lagi belum dikeluarkan," ujar bekas atlet lompat tinggi itu.