Malaysia menyasarkan pentas final Piala Sultan Azlan Shah dengan mengambil peluang ketiadaan dua pasukan gergasi, iaitu India dan New Zealand, yang tidak menyertai edisi kali ini.

Enam negara sudah pun mengesahkan penyertaan manakala India dan New Zealand tidak akan turut serta atas alasan mahu memperkemaskan pasukan untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia peluang terbaik buat skuad kebangsaan dalam usaha melakar kejayaan selepas melewati siri kehampaan dalam usaha untuk melayakkan diri ke Jepun.

Justeru, sasaran pentas final menjadi keutamaan skuad kendalian Roelant Oltmans itu.

"Meskipun Pakistan di ranking ke-17 dunia, ia tidak bermakna mereka tidak mampu mengalahkan pasukan nombor satu dunia.

"Ia satu kejohanan yang menarik dan kalau boleh, kami mahu menjemput semua pasukan menyertainya, tetapi ia tidak dapat (dilakukan).

"Hanya 16 pasukan yang dapat menyertai ini berikutan kekangan masa," kata Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal kepada wakil Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, hari ini.

Tegasnya, saingan edisi kali ini kekal seimbang walaupun ketiadaan dua pasukan yang dianggap pilihan kejohanan itu.

"Kami menetapkan sasaran untuk ke final memandangkan dalam ranking (pasukan yang menyertai Piala Azlan Shah), Malaysia di kedudukan ketiga.

"Tiada sebab kami tidak boleh mara ke final."