Kredibiliti pemilik pingat emas luncur air acara keseluruhan wanita, Aaliyah Yoong Hanifah, terlalu jauh untuk ditandingi peserta negara lain walaupun kurang sihat beraksi dalam Sukan SEA Ke-29 di Pusat Rekreasi Air Putrajaya, hari ini.

Itulah kekuatan yang dimiliki gadis berusia 14 tahun itu -- mengatasi rasa sakit dengan mengutamakan kepentingan negara dan mengekalkan penguasaan Malaysia selepas dia membuktikannya dalam Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.

Ternyata Aaliyah tidak mahu mempersiakan kelebihannya selaku wanita terbaik di Asia Tenggara ketika sandaran dua emas tergalas di bahunya.

"Pingat emas ini amat bermakna bagi saya. Ia bukan hanya kerana dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Singapura tetapi pelbagai dugaan dan tekanan yang saya hadapi sebelum saingan bermula.

"Saya amat gembira kerana masih mampu menang pingat emas biarpun terpaksa menahan sakit belakang.

"Saya juga mendapatkan suntikan untuk meredakan demam panas yang dialami sejak beberapa hari lalu," katanya.

Pencarian emas Aaliyah diteruskan dengan menyasarkan disiplin tricks individu sebagai emas kedua peribadinya pada Isnin ini.

Catatan 6,110 mata bagi tricks individu mahu diatasinya dan ia merupakan peluang terbaik untuk dia beraksi cemerlang di laman sendiri.

"Selalunya saya mampu melakukan catatan mata yang jauh lebih tinggi berbanding pesaing di Asia Tenggara ini tetapi apa sahaja boleh berlaku.

"Saya tetap akan cuba melakukan yang terbaik untuk meraih pingat emas dalam acara ini," tambahnya.

Dalam acara keseluruhan hari ini, Aaliyah menghimpun keseluruhan 2,678 mata menerusi slalom (803.03), tricks (1,000) dan jumps (875.86).

Pingat perak pula dimenangi oleh atlet Indonesia, Nur Alimah Priambodo dengan 1,874 mata manakala gangsa menjadi milik senegaranya, Rossi Amir, dengan 1,232 mata.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Gambar: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC).