Pengurus Team Sapura Cycling (TSC), Mohd Sayuti Zahit, tidak kecewa meskipun sasaran untuk memburu kedudukan podium dan juga pasukan terbaik Asia tidak dapat dipenuhi dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018.

Berdasarkan prestasi dalam beberapa siri perlumbaan sejak Januari lalu, TSC hadir dalam LTdL dengan motivasi tinggi bagi memperbaiki kedudukan yang diraih tahun lalu.

Harapan utama sudah pasti kepada Dylan Page untuk memburu podium dengan pelumba kelahiran Switzerland itu hampir melakukannya di peringkat ketujuh dari Nilai ke Muar, namun terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat.

Malah, mereka juga terlepas peluang untuk merebut gelaran raja bukit apabila jersi merah dikuasai pelumba Forca Amskins Racing (FAR), Alvaro Duerte.

Sementara itu. Muhammad Zawawi Azman menghadirkan keceriaan buat TSC apabila menjadi pelumba tempatan terbaik keseluruhan dalam saingan kali ini.

"Saya berbangga dengan pencapaian keseluruhan, buat pertama kalinya kami meraih tempat kelima.

"Kami meraih gelaran pelumba tempatan terbaik menerusi Zawawi, namun kami gagal mengekalkan gelaran raja bukit selepas meraih tangga kedua tahun lalu.

"Kami perlu menilai semula pelumba import agar dapat lebih kompetitif," kata Sayuti.

Beberapa pelumba TSC akan kembali ke Eropah untuk menyertai siri perlumbaan antaranya di Turki dan Itali di samping pertandingan peringkat umur bawah umur 23 tahun.

Sayuti juga menjelaskan TSC bakal membuat penilaian prestasi pelumba importnya dalam mengatur pasukan yang lebih mantap untuk menghadapi beberapa lagi tugasan utama tahun ini.

"Selepas ini, kami perlu mengkaji pelumba import agar lebih kompetitif.

"Mereka akan ke Turki untuk mengikuti beberapa perlumbaan di sana.

"Pelumba B-23 kami seperti Muhammad Nur Aiman Mohd Zarif, Muhsin Al Redha Misbah,Fitri Saharil dan Akmal Hakim Zakaria pula akan menyertai pertandingan di Itali," katanya lagi.