Sambutan jubli perak penganjuran perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTDL) dilengkapkan dengan kejayaan pasukan tempatan, Team Sapura Cycling (TSC), yang bukan sahaja dinobatkan sebagai juara keseluruhan, malah turut memenangi dua jersi utama.

Perlumbaan terakhir peringkat kelapan hari ini meliputi jarak 108.5 kilometer dari Dataran Lang ke Pekan Kuah.

Sebanyak tiga zon pecutan ditawarkan iaitu di Telaga Harbour (2) dan Pekan Kuah.

Ia juga laluan yang mencabar buat pendaki pasukan masing-masing dengan tujuh zon pendakian ditawarkan di sekitar Lebuh Raya Langkawi.

Selepas 2 jam 29 minit dan 8 saat, Pelumba NTT Pro Cycling, Maxmillian Walschield, muncul juara diikuti Luca Patoni (Androni Giocatoli Sidermec) dan Taj Jones (Ara Pro Racing Sunshine Coast).

"Saya menumpukan 100 peratus kepada pecutan dan menyimpan tenaga dalam setiap pusingan untuk memecut pada penghujung perlumbaan. Ia perlumbaan yang sempurna dan saya amat gembira," kata Walschield.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak menggugat status TSC sebagai pasukan tempatan pertama mempertahankan kejuaraan keseluruhan.

Pelumba mereka, Danilo Celano, muncul pemenang jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan manakala pelumba termpatan, Nur Aiman Zarrif, pula memenangi jersi merah (raja bukit).

"Kami tidak memikirkannya (untuk mempertahankan kejuaraan) sejak hari pertama," kata pengurus TSC, Sayuti Zahit.

"Kami hanya fokus kepada sasaran untuk mendapatkan jersi kuning.

"Kami berjaya mendapatkan jersi kuning, jersi merah dan pasukan terbaik.

"Itulah yang paling penting," katanya.