Sofian Nabil Omar mengetuai senarai 10 pelumba yang terpilih untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan menjelang Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 tatkala pasukannya, Forca Amskins Racing (FAR), bergelut untuk menyelesaikan masalah kewangan.

Kelibat Nabil menjadi tumpuan dalam sesi pemilihan yang diadakan di Klang, Selangor, hari ini.

Ini kerana pasukannya masih berpeluang menyertai LTdL 2019 jika berjaya menyelesaikan isu penaja, sekali gus mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Beberapa pelumba FAR juga dilihat menyertai sesi pemilihan untuk memikat pengendali negara, Mohd Yusof Abd Nasir.

"Forca Amskins Racing dikhabarkan akan menyertai LTdL 2019 tetapi segalanya belum dipastikan lagi.

"Oleh itu, kehadiran saya dalam sesi pemilihan pasukan kebangsaan pagi ini sebagai pilihan alternatif," katanya.

Semua pelumba yang terpilih akan menyertai kem latihan kebangsaan sebelum enam pelumba terbaik akan mengibarkan cabaran skuad kebangsaan dalam LTdL 2019 bermula 24 Mac depan.

"Skuad kebangsaan akan mengekalkan 10 pelumba ini sehingga tamat latihan sebelum memilih enam yang terbaik untuk saingan LTdL 2019.

"Pelumba selebihnya akan dihantar untuk menyertai kejohanan yang lain pada tarikh yang sama," ujar Yusof pula.