Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Dylan Page, tidak mahu mengibar bendera putih dalam usaha memburu kedudukan podium dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018.

Penyertaannya untuk saingan kali ini diputuskan pada saat-saat akhir selepas dia menggantikan pelumba tempatan, Adiq Hussainie Othman, atas faktor prestasi semasa tatkala Page mempamerkan persembahan cukup memikat ketika Tour of Mediterranean di Turki bulan lalu apabila berjaya meraih kedudukan podium dalam peringkat pertama.

Justeru, dia memburu pencapaian sama dan hampir melaksanakannya dalam peringkat pertama dari Kangar ke Kulim, namun terjatuh di penghujung perlumbaan.

Selepas itu, dia kekal konsisten dengan menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dalam peringkat kedua dan keempat.

"Saya telah melalui perlumbaan ini dua tahun lalu dan saya rasa terdapat peluang yang cerah untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Sasaran saya sememangnya mendapatkan tempat di podium dan mahu mencapainya," kata Page.

Cabaran seterusnya buat semua pelumba dan Page sendiri bersama TSC sudah pasti peringkat kelima yang dianggap paling mencabar, iaitu laluan dari Bentong menuju ke Cameron Highlands.

Sudah pasti tumpuan akan lebih terarah kepada pakar pendakian bagi memburu kemenangan dan Page mahu memastikan rakan sepasukannya menjejakkan kaki di podium buat TSC.

"Kami mempunyai dua pelumba yang mengetuai cabaran dalam pendakian dan mereka dalam prestasi yang bagus. Kita akan tahu esok bagaimana mereka beraksi."