Le Tour de Langkawi (LTdL) yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia, hilang status kelas Hors selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tidak berpuas hati dengan ketiadaan pasukan bertaraf profesional dalam saingan 2019, April lalu.

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UCI di Yorkshire, England, memutuskan LTdL gagal memohon pertukaran status kepada siri profesional.

Lebih malang, status perlumbaan yang bermula pada 1996 itu jatuh kepada kategori 2.1 dan diletakkan dalam kategori Sirkit Benua UCI.

Justeru, berita itu cukup mengecewakan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

"Saya tidak gembira, saya harap LTdL dinaikkan kepada siri profesional.

"Kebanyakan ahli jawatankuasa UCI sedia maklum mengenai peranan yang dimainkan LTdL," kata Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh.

Berikutan penganjur LTdL 2019, Human Voyage Sdn Bhd, gagal mendapatkan pasukan bertaraf profesional ekoran pertukaran tarikh perlumbaan, perkembangan itu juga menjadi satu tamparan hebat kepada pasukan negara.

"Penganjuran Hors memberikan liputan lebih luas dan ia memberi manfaat kepada penaja utama kami, Sapura.

"Ia penting buat mereka dan kelas 2.1 memberi sedikit impak negatif daripada segi penajaan," kata pengurus Team Sapura Cycling (TSC), Sayuti Zahit.

Menurut pelumba TSC, Muhsin Misbah pula: "Apabila diturunkan kepada kategori 2.1, prestij perlumbaan ini tidak seperti dulu lagi.

"Kalau dalam kategori Hors, ramai pelumba profesional akan datang dan bolehlah kami berlumba dengan mereka."