Penganjur Le Tour de Langkawi (LTDL) 2018, Ciclista Sports, masih berusaha mencari beberapa lagi penaja walaupun kini dalam zon selamat daripada segi dana penganjuran perlumbaan berkenaan.

Secara dasarnya, Ciclista Sports memerlukan RM16 juta untuk penganjuran LTdL tahun ini. Ia termasuk peruntukan RM12 juta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) manakala bakinya menerusi penajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, M. Kumaresan, melihat pihaknya kini mempunyai dana yang stabil untuk memastikan kelangsungan perlumbaan tetapi mengakui masih berunding dengan beberapa lagi penaja.

Edisi 2017 menyaksikan jumlah peruntukan kecil diterima Ciclista Sports sehingga menjejaskan proses pembayaran wang kemenangan.

"Kami masih bekerja dengan peruntukan yang ada.

"Setakat ini, penaja yang datang adalah dari Terengganu, Tule, Spritzer dan beberapa lagi jawapan daripada penaja akan diketahui pada minggu ini," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kumaresan yakin kehadiran semula pelumba kelahiran Itali, Andrea Guardini, akan merancakkan lagi persaingan kali ini.

Guardini merupakan pemenang peringkat terbanyak dalam sejarah LTdL dengan 18 kemenangan dan bakal mewakili pasukan Bardiani-CSF selepas tidak mengambil bahagian tahun lalu.

"Biasanya peringkat akhir saingan LTdL membabitkan permukaan mendatar, cuma kita ada tiga peringkat mendaki.

"Dia dijangka akan memenangi beberapa lagi peringkat melainkan kalau dia gagal mengulangi persembahannya atau ada pelumba pecut yang lebih baik daripadanya," kata Kumaresan lagi.