Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan pencapaian paling cemerlang pasukan tempatan susulan kejayaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin, muncul juara keseluruhan.

Walaupun kemenangan lebih ditunjangi oleh pelumba import, ia memberikan petanda baik bahawa pelumba tempatan turut merasai kejayaan tersebut.

Secara keseluruhan, saingan LTdL kali ini menyaksikan pembabitan paling besar oleh pelumba tempatan, iaitu 14 pelumba, yang merangkumi tiga pasukan bertaraf benua serta satu pasukan kebangsaan.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, pasukan bertaraf benua seperti TSG, Team Sapura Cycling (TSC) serta pendatang baru, Forca Amskins Racing (FAR), mempertaruhkan kudrat import dalam pasukan masing-masing.

Ia bertujuan memberikan saingan kepada pasukan luar negara, apatah lagi tenaga import ini lebih menjurus kepada pakar pendakian serta buruan bagi kedudukan keseluruhan.

Ternyata ia membuahkan hasil dengan kejayaan Ovechkin menyarung jersi kuning di samping jersi merah raja bukit menjadi milik pelumba (FAR), Alvaro Duerte.

Buat pelumba FAR, Anuar Manan, dia tetap berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh pelumba tempatan, apatah lagi dengan kejayaan Hariff Saleh yang mewakili TSG untuk meraih kedudukan podium sebanyak dua kali.

Selain itu, rakan sepasukan Anuar, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, juga dapat menyarung jersi putih selaku pelumba terbaik Asia untuk tiga peringkat.

"Kalau dulu, tidak ramai yang boleh memberi saingan kepada pelumba-pelumba Eropah tetapi sekarang, kita dah setanding mereka.

"Kita mampu memberi saingan kepada pelumba-pelumba utama," kata Anuar.

Pandangan sama turut disuarakan dua pelumba TSG, Muhammad Nur Aiman Zariff dan Muhammad Zawawi Azman.

Zawawi muncul pelumba tempatan terbaik keseluruhan dalam saingan kali ini manakala Nur Aiman juga beberapa kali dapat menempatkan diri di dalam kelompok utama perlumbaan.

"Dulu jurang kita dengan pelumba Eropah agak jauh, sekarang kita dah boleh beri saingan," kata Aiman.

"Tahun ini kita mempunyai empat pasukan tempatan yang mengambil bahagian dalam LTdL berbanding tiga tahun lepas. Jadi saingan sangat sengit," kata Zawawi.

Prestasi cemerlang pelumba tempatan ini turut mendapat pujian Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2018, M. Kumaresan.

Beliau, yang juga bekas pelumba basikal negara, berasakan barisan pelumba sedia ada mempunyai kemampuan untuk bersaing tetapi perlu lebih banyak pendedahan, khususnya di luar negara.

"Kalau kita nak menang di peringkat dunia, kita perlu berpangkalan di Eropah, namun bukanlah dalam tempoh setahun dua sahaja.

"Mereka perlu beraksi di sana dalam tempoh setidak-tidaknya empat tahun selain kekal lebih enam bulan dalam satu-satu masa untuk mengikuti perlumbaan di sana," kata Kumaresan.

Imej: Asiana