Menjadi pelumba tempatan terbaik adalah antara sasaran awal pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Shahrul Mat Amin, menjelang perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang bermula esok.

Edisi 2017 menyaksikan Shahrul cemerlang diangkat sebagai pelumba tempatan terbaik.

Lantas dia meletakkan sasaran yang sama sambil berharap dapat membantu TSG memperoleh kejayaan lebih besar dalam saingan kali ini.

Begitupun, dia mengakui saingan kali ini lebih sukar dijangka, apatah lagi dua pasukan benua dari Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC) dan Forca Amskin Racing (FAR), turut mempertaruhkan pelumba tempatan yang berkaliber.

"Kami sudah mengetahui kekuatan mereka, saya menjangkakan saingan yang dalam kalangan pasukan tempatan," katanya.

Sementara itu, Shahrul menganggap pembabitan lebih banyak wakil tempatan akan membentuk persaingan lebih sengit dalam kalangan mereka.

Selain TSG, TSC serta pasukan kebangsaan, LTdL 2018 turut menyaksikan penampilan sulung pasukan FAR yang ditubuhkan oleh bekas pelumba TSG, Anuar Manan.

Masing-masing mempertaruhkan tonggak import dalam usaha memburu kedudukan lebih baik dalam kategori berpasukan keseluruhan.

"Pasukan FAR menurunkan beberapa bekas rakan sepasukan kami. Saingan LTdL semakin sengit dalam kalangan pelumba tempatan," ujarnya lagi.