Setelah harapan untuk merebut jersi putih pelumba terbaik Asia semakin jauh, misi skuad Malaysia kini beralih dengan cuba untuk mencabar kedudukan pasukan terbaik Asia pula dengan berbaki satu lagi peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 esok.

Skuad Malaysia sebelum ini meletakkan sasaran untuk cuba melakar kejutan merebut kedudukan terbaik selepas peringkat keempat dari Shah Alam ke Genting Highlands.

Bagaimanapun, mereka menghadapi kesukaran untuk memberikan cabaran dan harapan terbaik untuk merebut jersi putih pelumba terbaik Asia menerusi pelumba berpengalaman, Nik Azwan Zulkiflie, juga semakin tertutup rapat setelah pelumba itu turun ke kedudukan ketujuh.

Tumpuan kini kepada pasukan terbaik Asia pula memandangkan Malaysia kini berkedudukan nombor dua di belakang pasukan dari Kazakhstan, Vino Astana Motors, dengan perbezaan masa 25 saat.

"Kami akan cuba bertahan hingga peringkat terakhir dan kami mahu menampilkan persembahan terbaik," kata pelumba pasukan Malaysia, Sofian Nabil Omar.

Skuad Malaysia pernah mencipta kejutan menerusi Sofian dalam peringkat ketiga dari Muar ke Putrajaya dengan merampas jersi putih sebelum ini.

Peluang terakhir skuad Malaysia untuk memperbaiki kedudukan ialah dalam perlumbaan peringkat ketujuh dari Dataran Lang ke Kuah dengan jarak sejauh 103.8 kilometer.

"Pasukan Malaysia akan melakukan yang terbaik dalam peringkat terakhir LTdL dan cuba mengakhiri saingan dengan satu kejayaan, iaitu mengungguli pasukan terbaik Asia."