Pelumba Astana Pro Team, Riccardo Minali, puas apabila memperoleh kemenangan keduanya dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 selepas mengungguli peringkat keempat dari Dungun, Terengganu ke Pekan, Pahang hari ini.

Perlumbaan sejauh 183.3 kilometer itu membabitkan tiga zon pecutan, masing-masing di Paka, Chukai dan Tanjung Lumpur serta satu pendakian kategori empat di Kijal.

Walaupun tidak mengasak dalam zon pecutan, Astana mengatur strategi tersendiri bagi memastikan Minali menamatkan saingan selaku juara dengan catatan 4 jam, 10 minit dan 14 saat di depan Andrea Guardini daripada pasukan Bardiani-CSF serta pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohamed Harrif Salleh.

"Kini, jersi hijau adalah objektif kedua saya kerana saya mahu meneruskan momentum dalam saingan LTdL kali ini dan pulang ke Itali dengan kejayaan," katanya.

Sementara itu, Harrif berpuas hati dapat mengubati kekecewaan sebelum ini apabila memperoleh kedudukan podium biarpun terpaksa akur dengan kehebatan Minali dan Guardini.

Walaupun sekadar menduduki tempat ketiga, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira selepas mengatasi Luca Pacioni (Wilier Triestina-Selle Italia) dan Manuel Belletti (Androni Giocattoli-Sidermec) yang berada di tempat keempat dan kelima.

"Saya sangat gembira kerana setelah sekian lama, saya meraih kedudukan di podium. Hari ini adalah rezeki saya berada di tempat ketiga. Bagi saya, ini adalah satu permulaan baru kerana tahap keyakinan saya semakin meningkat.

"Sebenarnya, selepas apa yang berlaku, kejayaan ini memberikan motivasi buat saya. Pada mulanya, saya agak gusar untuk meneruskan perlumbaan tetapi mujur saya dapat melawan perasaan risau itu," ujar Harrif.

Selepas tamat empat peringkat, jersi kuning masih kekal menjadi milik pelumba Cycling Racing, Adam De Vos, dengan kelebihan 14 saat di depan pelumba tempatan, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, yang mewakili pasukan Forca Amskins Racing (FAR) yang turut mendahului senarai pelumba Asia terbaik bagi jersi putih.

Minali pula mendahului kutipan mata raja pecut untuk menyarung jersi hijau berbekalkan kelebihan tujuh mata di depan Guardini, dengan jersi raja bukit masih dikuasai pelumba Manzana Postobon, Bernardo Albeiro Suaza Arango.