Peringkat kedua perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) hari ini menyaksikan penguasaan pelumba United Healthcare Pro Cycling, Travis McCabe, yang muncul juara selain berlaku pertukaran pendahulu keseluruhan.

Saingan itu bermula dari Jerteh menuju ke Gerik, membabitkan jarak sejauh 208.1 kilometer.

Ia menawarkan tiga zon pecutan, iaitu di Machang, Bukit Bunga serta Jeli di samping dua kawasan pendakian dengan tumpuan utama sudah pasti pendakian kategori satu di Titiwangsa.

Pelumba kebangsaan, Mohd Ameer Ahmad Kamal, berjaya mencuri mata apabila menduduki tempat ketiga di zon pecutan kedua, disusuli tempat kedua pada kawasan pecutan berikutnya.

Tetapi, bermula pendakian ke Titiwangsa, beberapa pelumba khususnya pakar pendakian mula membuat pecahan.

Antaranya pelumba pasukan Infinite Ais, John Ebsen, yang menguasai zon pendakian pertama dan juga berikutnya di Banding.

Menyusuri kawasan pendakian kedua itu, dia mula dikejar oleh peloton dengan perlumbaan berbaki 15 kilometer ke garisan penamat.

Nyata kawasan menuruni bukit menyaksikan pergerakan pantas pelumba tetapi McCabe lebih menyerlah dengan menamatkan saingan selaku juara di depan Filippo Pozzato dari pasukan Wilier Triestina serta Ryan Gibbons yang mewakili pasukan Dimension Data.

Keputusan itu, bagaimanapun, sudah memadai buat Gibbons untuk menyarung kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 7 jam, 59 minit dan 13 saat.

Sementara itu, pelumba TSG, Shahrul Mat Amin, menjadi pelumba tempatan terbaik selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-10 keseluruhan.