Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) kebanggaan rakyat Malaysia masih mempunyai peluang kembali ke status kelas Hors yang memerlukan masa panjang untuk melakukannya.

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) melucutkan status kelas Hors LTdL apabila tidak berpuas hati dengan ketiadaan pasukan bertaraf profesional dalam saingan pada April lalu.

Bagaimanapun, bekas penganjur kejohanan itu, Datuk Wan Lokman Wan Ibrahim, optimis LTdL mampu kembali bangkit ke status kelas Hors itu yang mungkin mengambil masa beberapa tahun.

"Walaupun mempunyai gred yang rendah, namun ia tidak menghalang kami mendapatkan pasukan yang baik. Kadangkala, pasukan pertengahan juga bagus dan memiliki banyak pengikut," katanya.

Menganjurkan LTdL dalam lapan edisi, Wan Lokman melihat terdapat beberapa langkah yang mampu dilakukan penganjur baru untuk menjadikan saingan kebanggaan rakyat Malaysia itu dapat disaksikan semula.

"Ia perlu dibuat awal untuk memberi jemputan kepada pasukan. Jadi, kalau contoh perlumbaan tahun ini, saya fikir Disember lalu pun pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih belum memberitahu siapa penganjur. Kedua, ketika saya dulu, perlu dilakukan banyak promosi di luar negara."

Terdahulu, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UCI di Yorkshire, England memutuskan status perlumbaan LTdL jatuh kepada kategori 2.1 dan diletakkan dalam kategori sirkit benua.