Ketua Pegawai Eksekutif, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, M. Kumaresan, memberi jaminan tiada kesukaran akan berlaku bagi urusan hadiah wang kemenangan keseluruhan berjumlah RM1 juta yang akan dibayar kepada pemenang sebaik selesai perlumbaan.

Isu hadiah kemenangan yang lambat diselesaikan bagi edisi lalu, dijamin tidak akan berulang apabila aturan penganjuran kali ini dianggap memenuhi perancangan asal.

Bagi Kumaresan, tidak wajar untuk mengaitkan isu edisi lalu dengan penganjuran kali ini memandangkan pihak penganjur telah bertukar.

"Semuanya berjalan dengan lancar mengikut jadual dan peruntukan yang ditetapkan.

"Kami tidak ada masalah berkenaan dengan hadiah.

"Saya harap sebaik perlumbaan ini berakhir, saya dapat mengumumkan bahawa semuanya sudah diselesaikan," katanya.

Lima tajaan akhir untuk penganjuran LTdL kali ini membabitkan NUR Power Group, Kerajaan Negeri Terengganu, Spritzer, Thule South East Asia Sdn Bhd dan Givi Asia Sdn Bhd.

Majoriti tajaan berbentuk barangan kecuali Kerajaan Negeri Terengganu yang menyumbang wang tunai RM200,000.



"Masa pun semakin suntuk, kami sudah bersedia daripada segi mengadakan perlumbaan.

"Saya fikir kami tidak akan mendapatkan penaja baru lagi memandangkan akan banyak kerja yang perlu diselesaikan nanti.

"Cukuplah penaja yang ada setakat ini," katanya lagi.