Pelumba pendaki, Pierpaolo Ficara dari Itali, menjadi harapan Team Sapura Cycling (TSC) untuk mempertahankan jersi kuning selaku juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, bermula 7 Februari ini ekoran ketiadaan juara bertahan yang berhijrah ke pasukan lain.

Pelumba berusia 28 tahun itu menjadi harapan terbaik TSC untuk menakluki peringkat keempat, iaitu pendakian kelas hors ke Genting Highlands, selepas dipilih daripada pasukan bertaraf benua, Amore Vita dari Itali.

Ia susulan ketiadaan Benjamin Dyball yang menyertai pasukan bertaraf dunia, NTT Pro Cycling, selepas muncul penyarung jersi kuning LTdL tahun lalu.

"Kami sudah cuba (berkayuh bersama-sama) semalam.Ini kali pertama saya mendaki Genting Highlands, ia merupakan pendakian yang bagus. Laluannya panjang selain perbezaan cuaca panas," katanya.

Kelibat Ficara disambut baik oleh rakan sepasukan, Zawawi Azman, yang berkata: "Kayuhannya mirip Dyball, kehadirannya pasti boleh membantu pasukan."

Dengan TSC akan memuktamadkan senarai enam pelumba LTDL, Khamis ini, pengurus pasukan, Sayuti Zahid, menganggap saingan kali ini pasti lebih sengit.

"Terdapat sebuah pasukan bertaraf jelajah dunia selain tiga pasukan profesional bertaraf benua pada musim ini, jadi pastilah perlumbaan ini lebih menarik berbanding musim 2019.

"Dengan kehadiran pasukan jelajah dunia menyertai LTdL, kami menjangkakan penganjurannya akan lebih tersusun.

"Saya berharap pendaki kami dapat mencapai prestasi maksimum dalam peringkat keempat di Genting Highlands," katanya.



Editor: Shaiful Shamsudin