Pelumba Forca Amskins Racing (FAR), Anuar Manan, percaya pasukannya akan terus memburu lebih banyak kejayaan susulan persembahan yang memikat dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018.

Saingan LTdL 2018 yang berakhir semalam menyaksikan penyertaan sulung FAR yang ditubuhkan pada penghujung tahun lalu.

Mereka membuktikan kemampuan untuk bersaing, khususnya menerusi pelumba kebangsaan, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, yang mampu meletakkan diri dalam kalangan pelumba terbaik Asia dalam awal saingan.

Selain itu, FAR turut memperolehi salah satu jersi utama apabila pakar pendakian dari Colombia, Alvaro Duerte, menyarung jersi merah selaku raja bukit keseluruhan.

Kesemua itu dapat diraih FAR menerusi tempoh persiapan singkat dan Anuar yakin prestasi pasukan akan terus meningkat selepas ini.

"Kami telah menghasilkan usaha hebat pada minggu ini.

"Kami memenangi gelaran raja bukit dan Nik Azwan juga sempat menaiki podium di tempat ketiga.

"Ia keputusan yang membanggakan dan melangkaui jangkaan saya," kata Anuar.

Beberapa lagi pertandingan akan menjadi tumpuan FAR selepas ini, antaranya Tour of Lombok di samping siri jelajah utama dalam kalendar Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI) Asia.

Lantaran itu, Anuar ingin terus memastikan cabaran FAR dapat dikekalkan bagi meningkatkan lagi kedudukan mereka dalam ranking pasukan Asia.

"Selepas ini, separuh daripada anggota pasukan ini mungkin akan menyertai pasukan kebangsaan untuk jelajah di Thailand manakala yang lain akan menyertai jelajah di Jepun, antaranya Tour de Kumano," katanya lagi.

Selepas lapan peringkat, pelumba kelab tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin, muncul juara keseluruhan.