Penganjur perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, Cyclista Sports, tetap menjangkakan kemeriahan saingan tahun ini di sebalik kekurangan tempoh promosi.

Cabaran besar menanti Cyclista Sports selepas mereka hanya diumumkan selaku penganjur buat edisi ketiga berturut-turut, Januari lalu.

Namun, pengalaman terdahulu memberikan keyakinan buat mereka bahawa perlumbaan tahun ini akan mendapat sambutan meriah dalam setiap peringkat.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2018, Shahirudeen Seeni, percaya pihaknya telah melakukan promosi sebaik mungkin dalam menjayakan saingan kali ini.

"Kami mengakui masa terlalu suntuk untuk membuat promosi tetapi mengutamakan persiapan perlumbaan," katanya selepas majlis pengumuman penaja perarakan kereta promosi atau Calvacade di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebanyak 27 kenderaan akan terlibat dalam perarakan itu yang kebiasaanya bergerak satu jam lebih awal sebelum perlumbaan.

Malah, penganjur juga memperkenalkan program Le Park at LTdL yang bersifat santai buat penonton yang mengikuti perlumbaan dalam setiap peringkat.