Muhammad Nur Aiman Zariff daripada Team Sapura Cycling (TSC) menjadi pelumba terbaik tempatan dalam peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) selepas berada dalam kelompok utama ke garisan penamat.

Strategi TSC ialah mempertaruhkan pakar pendakian mereka dalam usaha memburu kemenangan dalam peringkat kelima membabitkan jarak 169.4 kilometer dari Bentong ke Cameron Highlands

Begitupun, pemecahan yang dilakukan oleh Artem Ovechkin menyaksikan Aiman cuba mengejar pelumba TSG itu sehingga tiga kilometer ke garisan penamat.

Ovechkin lebih bertenaga dan Aiman terpaksa berpuas hati berada dalam kelompok utama untuk menjadi pelumba tempatan terbaik.

"Pada permulaan pendakian, saya berjaya mengikut kelompok utama dan bersyukur di atas kejayaan ini," kata Aiman.

Sementara itu, Aiman menyasarkan untuk terus mengekalkan kedudukan selaku pelumba tempatan terbaik keseluruhan menjelang tiga lagi peringkat untuk diharungi.

Dia kini mempunyai kelebihan 11 saat di depan pelumba Forca Amskins Racing (FAR), Nik Mohd Azwan Zulkiflie, yang menerajui kedudukan berkenaan dalam empat peringkat sebelum ini.

"Saya berharap dapat mengakhiri saingan ini selaku pelumba Asia terbaik dan akan terus mempamerkan kayuhan terbaik dalam baki tiga peringkat LTdL edisi kali ini," ujarnya.

Jelajah LTdL 2018 diteruskan dalam peringkat keenam dari Tapah ke Tanjung Malim sejauh 108.5km esok, dengan hanya satu zon pecutan, iaitu di Langkap, dan juga satu zon pendakian di Felda Besaut menanti para pelumba.