Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Firdaus Arshad, bimbang dengan kelewatan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melantik penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 tatkala saingan akan bermula pada 24 Mac depan.

Kelewatan melantik penganjur bagi edisi ke-24 itu akan mengundang lebih banyak masalah.

KBS akan membuka semula tender untuk melantik penganjur walaupun empat syarikat sudah berada dalam senarai akhir.

Bagi PKBM, mereka hanya mahu persiapan LTdL 2019 berjalan lancar, bertepatan dengan prestij kejohanan itu selaku perlumbaan kelas Hors dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Situasi ini akan menimbulkan masalah kepada syarikat-syarikat yang akan menganjurkan LTdL untuk edisi 2019.

"Ini akan menjejaskan imej negara sebab kita mendapat pengiktirafan cemerlang atas penganjuran sebelum ini.

"Untuk mengekalkan usaha ini, kita haruslah melantik syarikat dan individu yang bersesuaian serta berpengalaman, bukannya sekadar tangkap muat," kata Firdaus.

Proses melantik penganjur hanya akan dimuktamadkan hujung bulan ini.