Pelumba pasukan Wilier Triestina, Jakub Mareczko, muncul pemenang peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 dari Melaka ke Rembau, Negeri Sembilan, dalam aksi penamat secara beramai-ramai hari ini.

Peringkat ketujuh LTdL bermula dari Melaka membabitkan 100 pelumba dengan kayuhan sejauh 148 kilometer.

Saingan 15 kilometer pertama menyaksikan kesemua pasukan sering bertukar-tukar pecahan untuk menjarakkan diri daripada peloton besar.

Mareczko dan dua pelumba Eropah yang lain menguasai kilometer ke-32 dalam zon pecut pertama.

Namun, dalam zon pecut kedua, giliran pelumba Asia mengambil tempat, termasuk dua pelumba tempatan.

Usaha beberapa kelompok pelumba cuba menjarakkan diri daripada peloton selepas itu, bagaimanapun, tidak berhasil.

Malah, hujan yang mula turun di pertengahan jalan menyaksikan peloton besar pelumba sampai ke garisan penamat dengan Mareczko melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 23 minit 45 saat.

Pelumba Itali itu turut menguasai jersi biru raja pecut dengan mendahului kutipan mata.

Pendahulu keseluruhan, Ryan Gibbons, kekal sebagai pendahulu jersi kuning.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang hadir dalam upacara penyampaian hadiah meluahkan keyakinannya terhadap prestasi semasa pelumba negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur nanti.

"Saya sangat kagum dengan prestasi pelumba-pelumba kebangsaan yang terdiri daripada pelbagai pasukan untuk edisi tahun ini.

"Ini menunjukkan pelumba-pelumba lebuh raya kita semakin meningkat dari segi prestasi. Ini memberi petanda positif untuk Sukan SEA akan datang," katanya.